21 MEI 2017 : Biar Pembangunan Berubah, Tapi Jangan Hubungan:- DSD Dr Zambry Abd Kadir
Lahirnya seorang yang mampu mencipta sejarah dan kejayaan dari kalangan anak Pangkor bukan sesuatu yang dimimpikan.
Itu luahan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir yang merupakan anak jati pulau itu apabila berkesempatan berkumpul dengan lebih 1,200 anak Pangkor di kediaman rasminya di Ipoh.
Antara pengisian majlis ajuran Alumni Sekolah Kebangsaan Pangkor itu ialah makan malam, bersolat jemaah dan kemudiannya sembang santai.
Pertemuannya dengan anak Pangkor ini menyebabkan Datuk Seri Diraja Dr Zambry menzahirkan rasa bangganya apabila pekan kecil itu turut tidak ketinggalan melahirkan generasi berjaya dengan menjadi golongan profesional.
“Terdapat juga anak Pangkor yang telah mewakili negeri dan negara dalam sukan ragbi yang menjadi juara Kejohanan Ragbi Asia Division 1 baru-baru ini, bolasepak dan olahraga.

“Dulu kita tidak pernah termimpi untuk menjadi seperti sekarang kerana ketika itu Pangkor dhaif dan tiada apa,” katanya.
Mengimbas kehidupan masyarakat di Pulau Pangkor, Datuk Seri Diraja Dr Zambry berkata sejak dari dahulu masyarakat di situ hidup umpama sebuah keluar besar yang masih mengamalkan semangat gotong-royong terutama ketika diadakan majlis keramaian secara besar-besaran.
“Walaupun pulau banyak berubah (pembangunan), tetapi janganlah hendaknya hubungan kita juga berubah. Sekiranya ada perselisihan, cepat-cepat perbetulkan,” demikian nasihat dan harapan beliau.
Pada majlis yang berakhir sekitar pukul 10.30 malam itu, turut dihadiri oleh isteri beliau, Datin Seri Diraja Saripah Zulkifli.
